BKSS 3.0 – Bantuan Sarawakku Sayang 3.0
Berita baik untuk rakyat negeri Sarawak, pada 8 Mei 2020, kerajaan negeri Sarawak telah mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 dengan peruntukan dana tambahan sebanyak RM290 juta yang bertujuan membantu rakyat di negeri itu yang turut sama-sama terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada masakini.
Pada 23 Mac 2020 yang lalu, kerajaan Sarawak telah mengumumkan BKSS 1.0 dan diikuti oleh BKSS 2.0 pada 10 April 2020. Secara keseluruhannya, kedua-dua Pakej ini yang berjumlah RM2.25 bilion.
Peruntukan pakej bantuan BKSS 3.0 yang terbaru ini diwujudkan selepas mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum ini. Menerusi pakej ini terdapat tujuh langkah tambahan yang lebih inklusif diperkenalkan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di negeri Sarawak.
LANGKAH 1: TAMBAHAN BANTUAN KEPADA KETUA ISI RUMAH B40 TERMASUK BUJANG BERUMUR 21 TAHUN KE ATAS YANG BERPENDAPATAN RM2000 KE BAWAH
Dalam pengumuman BKSS 1.0 sebelum ini, Ketua Isi Rumah kategori B40 di Sarawak yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah diberi bantuan tunai bulanan sebanyak RM250 selama 6 bulan.
Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak telah menerima banyak maklum balas daripada Ketua Isi Rumah yang layak tetapi tidak tersenarai dalam BKSS 1.0.
Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak telah membuka peluang bagi Ketua Isi Rumah yang layak untuk membuat rayuan secara atas talian atau melalui Pejabat Daerah yang berhampiran mulai 18 April sehingga 28 April 2020.
Berdasarkan rayuan online yang diterima, Kerajaan Sarawak mengumumkan akan menyalurkan bantuan pembayaran secara tunai sebanyak RM1,500 kepada anggaran 30,000 Ketua Isi Rumah yang sebelum ini tidak tersenarai di bawah BKSS 1.0.
Kerajaan Sarawak juga akan memberi bayaran tunai secara one-off iaitu sekali sebanyak RM500 kepada 377,806 individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Langkah ini dijangka akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM234.0 juta.
LANGKAH 2: TAMBAHAN UNTUK GERAN KHAS RM750 KEPADA PENJAJA DAN PENIAGA KECIL YANG BERDAFTAR DENGAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MELALUI SARAWAK PAY
Dalam BKSS 2.0, Kerajaan Sarawak telah mengumumkan Geran Khas berjumlah RM1,500 kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibayar secara 2 peringkat iaitu RM750 pada bulan Mei dan RM750 pada bulan Julai 2020.
Memandangkan para penjaja dan peniaga kecil merupakan golongan yang paling terkesan oleh wabak ini, Kerajaan Sarawak mengumumkan akan menambah Geran Khas ini selama sebulan lagi iaitu sebanyak RM750 kepada mereka.
Dengan tambahan ini, setiap penjaja dan peniaga kecil akan menerima secara keseluruhannya sejumlah RM2,250 melalui Geran Khas ini dan diharapkan tambahan sebulan lagi akan membantu golongan ini yang terjejas dari segi pendapatan pada masa ini.
Bantuan Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM48.75 juta.
"Nak dapatkan info jawatan kosong terkini terus ke Telefon Pintar anda? Sertai Telegram ~> Job Malaysia sekarang."
LANGKAH 3: ELAUN BULANAN KHAS PETUGAS BARISAN HADAPAN YANG MENANGANI WABAK COVID-19 DI SARAWAK
Dalam BKSS 1.0, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan Elaun Bulanan Khas kepada petugas barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19, iaitu kakitangan Perubatan, Imigresen dan PDRM, petugas Bilik Gerakan Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota RELA sebagai penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan mereka.
Kerajaan Sarawak juga amat menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota barisan hadapan lain yang turut terlibat secara langsung dalam pengurusan wabak COVID-19 dan terdedah kepada risiko jangkitan semasa menjalankan tugas di Sarawak.
Dalam hal ini, Elaun Bulanan Khas kepada petugas barisan hadapan sebanyak RM200 untuk enam bulan juga diberikan kepada:
- 358 anggota Kastam DiRaja Malaysia yang menjalankan tugas di semua pintu masuk sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh Sarawak;
- 870 kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membantu melaksanakan tugas perkhidmatan kecemasan, kerja-kerja pemeriksaan dan sanitasi di seluruh Sarawak;
- 887 anggota BOMBA dan Penyelamat dalam menjalankan perkhidmatan kecemasan dan kerja-kerja sanitasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi; dan
- 500 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu pihak PDRM dan ATM dalam memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi sepenuhnya.
Kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM3.2 juta untuk membayar Elaun Bulanan Khas ini.
LANGKAH 4: INSENTIF UNTUK PEMILIK DAN PENGENDALI PENAMBANG YANG BERDAFTAR DENGAN LEMBAGA SUNGAI-SUNGAI SARAWAK (SRB)
Penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan penurunan drastik pengguna penambang khususnya para pelancong. Ini telah menjejaskan pendapatan pemilik dan pengendali penambang di seluruh Sarawak.
Kerajaan Sarawak prihatin dengan nasib pengusaha penambang. Oleh itu, bantuan tunai secara one-off iaitu sekali sebanyak RM500 akan diberi kepada pemilik dan pengendali penambang berdaftar di Sarawak.
Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 199 pemilik dan pengendali penambang dan diharap dapat mengurangkan beban kewangan mereka.
Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM99,500.
"Nak dapatkan info jawatan kosong terkini terus ke Telefon Pintar anda? Sertai Telegram ~> Job Malaysia sekarang."
LANGKAH 5: INSENTIF UNTUK PENGENDALI VAN PENUMPANG, PEMANDU TEKSI, PENGENDALI BAS DAN VAN SEKOLAH YANG BERDAFTAR DI SARAWAK
Kerajaan Sarawak amat prihatin dengan kehilangan punca pendapatan pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak akibat wabak ini.
Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan mereka dalam membantu urusan seharian kita. Mereka menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pelajar – pelajar sekolah kita, para pelawat dan pelancong yang datang ke Sarawak dan rakyat tempatan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan.
Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kewangan secara one-off iaitu sekali sebanyak RM600 kepada 959 pengendali van penumpang, 1,976 pemandu teksi dan 739 pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak.
Bantuan ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM2.20 juta.
LANGKAH 6: GERAN KHAS KEPADA PEMANDU PELANCONG DAN PEMANDU PELANCONG TAMAN NEGARA YANG BERLESEN
Industri pelancongan merupakan industri yang paling terjejas akibat wabak COVID-19. Perkara ini telah menyebabkan agensi pelancongan di Sarawak kehilangan sumber pendapatan kerana pembatalan lawatan oleh pelancong dan tidak ada tempahan untuk 6 bulan yang akan datang.
Oleh yang demikian, Pemandu Pelancong dan Pemandu Pelancong Taman Negara di Sarawak turut terkesan akibat situasi ini dan ramai mungkin akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Bagi meringankan beban kewangan mereka, Kerajaan Sarawak akan memberi Geran Khas secara one-off iaitu sekali sebanyak RM1,500 kepada 145 Pemandu Pelancong dan 113 Pemandu Pelancong Taman Negara yang berdaftar di Sarawak.
Pemberian Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM387,000.
LANGKAH 7: PERKHIDMATAN CAWANGAN BANK BERGERAK BSN YANG DILENGKAPI DENGAN MESIN ATM MEPS KE KAWASAN LUAR BANDAR
Untuk meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah:
- Kerajaan Sarawak telah memberi bantuan tunai melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS); manakala
- Kerajaan Persekutuan pula melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Bantuan tunai ini disalurkan melalui perkhidmatan bank khususnya Bank Simpanan Nasional (BSN).
Namun, terdapat rakyat di kawasan luar bandar mengalami kesukaran untuk mendapat akses kepada perkhidmatan bank kerana tidak ada perkhidmatan bank di luar bandar.
Untuk mengatasi masalah penduduk luar bandar ini, Kerajaan Sarawak telah membuat initiatif untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan beberapa institusi kewangan lain untuk menyediakan perkhidmatan perbankan mereka ke kawasan luar bandar.
Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak yang dilengkapi dengan Mesin ATM MEPS dimaklumkan akan beroperasi di luar bandar Sarawak.
Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM1.6 million sebagai perbelanjaan modal kepada BSN bagi mengendalikan Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak untuk memberi perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di luar bandar Sarawak.
Sebagai permulaan, kaunter bergerak BSN akan beroperasi di Pakan, Sarikei pada 10 hingga 11 Mei 2020 dan perkhidmatan ini akan diperluaskan lagi ke kawasan lain di luar bandar Sarawak.
Bantuan one-off RM1500 turut diumumkan khas kepada ahli-ahli media (anggaran 500 ahli) untuk menghargai sumbangan media.
IMPLIKASI KEWANGAN
Suntikan dana bagi Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 akan melibatkan peruntukan berjumlah RM0.30 bilion (RM300 juta) kepada ekonomi Sarawak. Suntikan dana ini merupakan perbelanjaan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
Secara keseluruhannya, jumlah suntikan dana kepada ekonomi Sarawak melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2020 adalah berjumlah RM2.55 bilion iaitu melalui:
– BKSS 1.0 berjumlah RM1.15 bilion;
– BKSS 2.0 berjumlah RM1.11 bilion; dan
– BKSS 3.0 berjumlah RM0.30 bilion.
KESIMPULAN
Diharapkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 3.0 dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat dan para peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid 19 ini. Dalam keadaan yang sukar pada masa ini, bantuan ini diharapkan dapat membantu membaikpulih ekonomi rakyat dan dapat menyediakan platform yang kukuh untuk terus makmur pada masa akan datang.
Macam mana nak kemaskini bantuan bkss .says sudah berkeluarga bantuan bkss Sarawak ku sayang dsya belom dapat lagi dari bulan APRIL hingga bulan JULY SAYA BELOM TETIMA BANTUAN BKSS.SAYA MOHON AGAR BANTUAN BKSS SAYA DAPAT .