Program Insentif Pengambilan Pekerja – Penjana Kerjaya
Berita baik kepada warganegara Malaysia yang sedang mencari pekerjaan, satu Program Insentif Pengambilan Pekerja atau singkatannya ‘PenjanaKerjaya’ kini telah dilaksanakan bermula 15 Jun 2020. Tujuan Program Penjana Kerjaya dibangunkan adalah untuk merangsang pewujudan dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Selain itu, kepada majikan yang mempunyai kekosongan jawatan yang perlu diisi di syarikat masing-masing, mereka mungkin layak untuk menerima manfaat insentif PenjanaKerjaya ini sehingga 6 bulan sekiranya mengambil dan menggaji pekerja baharu.
PENGENALAN
- PenjanaKerjaya merupakan salah satu program yang ditawarkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari kerja tempatan.
- Kementerian Sumber Manusia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini melalui National Employment Services, PERKESO.
INSENTIF PENJANAKERJAYA
Berikut disenaraikan insentif yang disediakan di bawah Program PenjanaKerjaya berdasarkan kategori:
i. #MyApprentice: Insentif Perantis bagi majikan yang mengambil pencari kerja tempatan secara perantis dalam kalangan lepasan sekolah dan graduan.
ii. #HireMalaysia – Terdapat 3 kategori yang merangkumi:
a. Insentif Pengambilan Pekerja yang menggajikan pencari kerja tempatan di bawah umur 40 tahun;
b. Insentif Pengambilan Pekerja yang menggajikan pencari kerja tempatan berumur 40 tahun dan ke atas; dan
c. Insentif Pengambilan Pekerja yang menggajikan pencari kerja tempatan dalam kalangan golongan mudah terjejas termasuk golongan kurang upaya (OKU), dan peserta Program Return to Work PERKESO.
*Nota: Umur pencari kerja adalah berdasarkan pada tarikh lahir semasa permohonan
iii. Bantuan Mobiliti (Mobility Assistance): bayaran one-off kepada pekerja yang berpindah melebihi 100km (satu hala) dari lokasi tempat pemastautin pencari kerja;
iv. Program Latihan: menyediakan latihan semula (reskilling and upskilling) termasuk program place and train yang berdasarkan keperluan majikan dan pekerja yang diambil di bawah PenjanaKerjaya.
SYARAT & KELAYAKAN
Untuk melayakkan anda memohon PenjanaKerjaya, syarat di bawah hendaklah dipenuhi:
- Majikan telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM – Companies Commission of Malaysia) SSM / Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) / Pendaftaran Perniagaan (ROB) / Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan sebelum 1 Jun 2020; dan
- Majikan hendaklah berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 Jun 2020.
Manakala, mereka yang TIDAK LAYAK memohon PenjanaKerjaya adalah:
- Agensi Pekerjaan Swasta ataupun Syarikat Penyumberan Luar (Outsourcing / Contractor for Service) yang membekalkan tenaga kerja kepada perusahaan lain (principal) dan bukannya sebagai majikan langsung; dan
- Pekerja sektor awam, badan berkanun persekutuan dan negeri, semua badan berkanun yang diasingkan saraan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan).
Kategori pekerja yang TIDAK LAYAK mendapat insentif di bawah PenjanaKerjaya adalah:
- Pekerja yang sedang menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program) atau tersenarai dalam Program Subsidi Upah adalah tidak layak.
"Nak dapatkan info jawatan kosong terkini terus ke Telefon Pintar anda? Sertai Telegram ~> Job Malaysia sekarang."
PROGRAM INSENTIF PENGAMBILAN PEKERJA
Berikut disenaraikan insentif kewangan serta syarat kelayakan Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah PenjanaKerjaya:
Syarat Tambahan:
- Majikan hendaklah mendaftar kekosongan jawatan dalam Portal MYFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my) bermula 15 Jun 2020 atau mana-mana portal pekerjaan yang berdaftar di bawah Akta 246.
- Majikan yang mengambil pencari kerja yang tidak bekerja sekurang-kurangnya 2 bulan (kecuali MyApprentice).
- Bagi tujuan pengesahan penempatan pekerjaan, majikan perlu mendaftarkan kekosongan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs. Pekerja yang diambil dibawah insentif ini juga perlu berdaftar dengan portal ini.
- Pekerja baru yang telah digajikan di bawah insentif ini hendaklah didaftarkan dan mencarum dengan PERKESO dan SIP di Sistem ASSIST PERKESO.
- Majikan tidak boleh memberhentikan pekerja sedia ada dan menggantikannya (substitute) dengan pekerja yang sama atau yang baru di bawah PenjanaKerjaya (Hiring Incentive) dalam tempoh program ini.
- Majikan hendaklah menawarkan pekerjaan (employment contract) sekurang-kurangnya satu tahun (salinan kontrak tidak perlu dikemukakan kepada PERKESO) kecuali kategori MyApprentice.
- Pencari kerja tempatan yang belum mencapai umur 60 tahun.
KAEDAH PERMOHONAN
Di bawah adalah cara membuat permohonan insentif di bawah PenjanaKerjaya:
- Kekosongan pekerjaan perlu didaftarkan di Portal MYFutureJobs walaupun kekosongan pekerjaan tersebut telah didaftarkan di dalam mana-mana portal pekerjaan yang lain;
- Sekiranya terdapat pengambilan pekerja baru, majikan perlu mendaftarkan pekerja tersebut di sistem ASSIST PERKESO dalam tempoh 30 hari dari tarikh pekerja melaporkan diri
- Mulai 15 Jun 2020, majikan boleh mendaftarkan profil majikan di Portal PenjanaKerjaya melalui laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my ;dan
- Mulai 1 Julai 2020, majikan boleh membuat permohonan Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi pekerja yang diambil dibawah insentif ini.
Tarikh akhir bagi permohonan di bawah PenjanaKerjaya adalah pada 31 Disember 2020.
Memandangkan PenjanaKerjaya akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, pihak PERKESO menggesa individu yang masih menganggur termasuk graduan dan lepasan sekolah untuk mendaftar di portal MyFutureJobs PERKESO. Pencari kerja yang memerlukan bantuan boleh terus menghubungi PERKESO atau hadirkan diri ke pejabat PERKESO di seluruh negara di mana Kaunselor Kerjaya PERKESO sentiasa bersedia untuk membantu.
Jadi, kepada pencari kerja, segeralah berdaftar di portal MyFutureJobs PERKESO (www.myfuturejobs.gov.my) untuk meningkatkan peluang prospek kerjaya masa depan anda, sekarang!
HUBUNGI
Untuk info lanjut, sila rujuk kepada soalan-soalan lazim PenjanaKerjaya yang boleh dimuat turun melalui laman web rasmi PERKESO di SINI
Anda juga boleh hubungi nombor hotline di 03-8091 5300 (Isnin hingga Ahad) atau emel [email protected]